وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
“Dan
janganlah kamu memaki cerca ilah-ilah (sesembahan) yang mereka ibadahi
selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah
melampau-lampau pula tanpa ilmu.” (Surah al-An’aam, 6: 108)
Uraian dan maksud ayat:
Allah
melarang Rasul-Nya, Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan
orang-orang yang beriman dari mencaci ilah-ilah (yang sembahan-sembahan)
kaum musyrikin, walaupun pada cacian tersebut terdapat kemaslahatan
(kebaikan). Ini kerana perbuatan mencaci ilah-ilah kaum musyrikin
tersebut memiliki mafsadah (kerosakan) yang jauh lebih besar dari
kemaslahatan yang terdapat padanya. Iaitu di mana orang-orang musyrikin
itu nanti akan membalas balik setiap cacian tersebut dengan cacian yang
lain terhadap Ilah kaum mukminin, sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala
adalah Rabb yang tidak ada ilah (yang berhak diibadahi) selain Dia.
Sebagaimana yang dikatakan oleh ‘Ali B. Abi Thalhah, daripada Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma tentang ayat ini:
يا محمد، لتنتهين عن سبك آلهتنا، أو لنهجون ربك، فنهاهم الله أن يسبوا أوثانهم، فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
“Orang-orang musyrik itu berkata: “Wahai Muhammad, engkau hentikanlah cacianmu terhadap ilah-ilah kami itu, atau kami akan membalas cacian kepada Rabbmu.”
Lalu Allah melarang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan
orang-orang Mukmin mencaci patung-patung mereka: “kerana nanti mereka
akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa
ilmu.”.”
‘Abdurrazzaq mengatakan daripada Ma’mar, daripada Qotadah:
كان
المسلمون يسبون أصنام الكفار، فيسب الكفار الله عدوا بغير علم، فأنزل الله:
وَلا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ
“Dahulu
kaum Muslimin mencaci berhala-berhala orang-orang kafir, lalu
orang-orang kafir pun membalas dengan cara mencaci Allah Ta’ala secara
melampau-lampau dan tanpa berdasarkan ilmu pengetahuan. Lalu Allah
menurunkan ayat:
“Dan
janganlah kamu memaki cerca ilah-ilah (sesembahan) yang mereka ibadahi
selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah
melampau-lampau pula tanpa ilmu.”
Dalam Tafsir al-Qurthubi, disebutkan bahawa Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
قَالَتْ
كُفَّارُ قُرَيْشٍ لِأَبِي طَالِبٍ إِمَّا أَنْ تَنْهَى مُحَمَّدًا
وَأَصْحَابَهُ عَنْ سَبِّ آلِهَتِنَا وَالْغَضِّ منها وإما أن إِلَهَهُ
وَنَهْجُوَهُ، فَنَزَلَتِ الْآيَةُ
“Orang-orang
kafir pernah berkata kepada Abu Thalib (Pak Cik Rasulullah): “Laranglah
Muhammad dan para sahabatnya dari memaki dan menghina ilah-ilah
(sembahan) kami, atau kami akan membalas balik dengan cara mencaci dan
menghina Tuhan-nya.” Maka turunlah ayat ini.” (Tafsir al-Qurthubi, 7/61 –
Daar al-Kitaab al-Mishriyah)
Keadaan
ini menunjukkan bahawa meninggalkan suatu bentuk kemaslahatan demi
menghindari kerosakan yang lebih besar adalah suatu yang didahulukan.
Ini antaranya berdasarkan hadis sahih bahwa Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ
مِنْ أَكْبَرِ الذَّنْبِ أَنْ يَسُبَّ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ، قَالُوا:
وَكَيْفَ يَسُبُّ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ؟ قَالَ: يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ
فَيَسُبُّ أَبَاهُ، وَيَسُبُّ أُمَّهُ، فَيَسُبُّ أُمَّهُ
“Termasuk dosa besar adalah orang yang mencaci ayah dan ibunya.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang boleh mencaci ayah dan ibunya?”
Beliau
Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Ia mencaci ayah seseorang,
lalu orang yang ayahnya dicaci tersebut pun mencaci balas ayah orang
yang mencaci. Ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun mencaci balas
ibu orang yang mencaci tersebut.” (Musnad Ahmad, no. 6840. Shahih
al-Bukhari, no. 5973)
1,
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang kaum mukminin dari
perbuatan mencaci atau mencerca berhala-berhala orang-orang kafir,
kerana Allah mengetahui apabila kaum mukminin mencerca berhala-berhala
tersebut maka orang-orang kafir pun akan melawan balas balik dengan
cercaan terhadap Allah dan orang-orang kafir itu pun semakin jauh (dari
Islam) dan bertambah pula kekufurannya.
2,
Kemaslahatan perlu didahulukan berbanding keburukan (mafsadah). Dan
kemaslahatan yang kecil perlu ditinggalkan jika boleh menyebabkan
timbulnya mafsadah lain atau mafsadah yang jauh lebih besar.
3,
Tidak boleh sengaja mencari pasal dengan orang-orang kafir kerana hal
itu lebih menenangkan dan lebih mudah membuatkan mereka menerima Islam.
Perbuatan sengaja menghina sembahan-sembahan orang-orang kafir boleh
mengakibatkan keadaan huru-hara, membangkitkan kemarahan, menyemarakkan
kebencian yang tidak sepatutnya berlaku, dan hanya menjauhkan mereka
dari memahami Islam.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment