Imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan dalam Kitab Shahihnya:
إِنَّا لاَ نَدْخُلُ كَنَائِسَكُمْ مِنْ أَجْلِ التَّمَاثِيلِ الَّتِي فِيهَا الصُّوَرُ
“Sesungguhnya
kami tidak akan masuk ke dalam rumah-rumah ibadah kamu disebabkan ada
patung-patung serta gambar-gambar di dalamnya.”
Kemudian beliau mengatakan:
وَكَانَ ابْنُ عَبَّاسٍ: «يُصَلِّي فِي البِيعَةِ إِلَّا بِيعَةً فِيهَا تَمَاثِيلُ
“Ibnu
‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma pernah solat di dalam rumah ibadah orang
kafir (gereja) kecuali rumah ibadah yang ada patung di dalamnya.”
(Shahih al-Bukhari, 1/94)
Imam al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:
“Tidak
mengapa solat di dalam rumah ibadah orang kafir (gereja). Bahawasanya
Ibnu ‘Abbas pernah solat di dalam rumah ibadah orang kafir (gereja)
kecuali gereja yang ada patung di dalamnya. Apabila di dalamnya terdapat
patung, maka ia pun keluar dan solat dalam keadaan hujan.” (Al-Baghawi,
Syarhus Sunnah, 2/413. Fathul Bari, 1/532)
Imam ‘Abdurrazzaq ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 211H) meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas:
أنه كان يكره أن يصلى في الكنيسة إذا كان فيها تماثيل
“Sesungguhnya beliau membenci solat di gereja apabila di dalamnya terdapat patung-patung.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 1608)
‘Abdurrazzaq juga turut meriwayat perkataan ‘Umar al-Khaththab di mana beliau mengatakan:
لاتعلموا رطانة الأعاجم ولا تدخلوا عليهم في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم
“Janganlah
kamu pelajari bahasa kaum ‘Ajam (selain bangsa ‘Arab) dan janganlah
kamu masuk ke dalam gereja-gereja mereka pada hari kebesaran (perayaan)
mereka kerana kemurkaan Allah turun ke atas mereka (pada ketika itu).”
(Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 1609)
Yang
dimaksudkan dengan bahasa kaum ‘Ajam dalam atsar ini adalah
nyanyian-nyanyian keagamaan mereka di rumah-rumah ibadah mereka.
Selain
itu, faktor gambar sebagai sebab tidak boleh dimasuki sesebuah rumah
ini juga turut diriwayatkan sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam.
Di
sini menunjukkan tidak dibolehkan memasuki rumah-rumah ibadah orang
kafir tanpa sebarang sebab terutamanya yang di dalamnya ada
patung-patung atau gambar-gambar. Juga ketika berlangsungnya hari-hari
kebesaran atau perayaan mereka.
Demikian
juga tidak dibolehkan solat di dalamnya yang mana terdapat
patung-patung atau gambar-gambar. Melainkan jika di dalamnya tidak
terdapat patung-patung atau gambar-gambar maka dibolehkan solat, itupun
jika memang telah dipastikan memang tiada tempat yang lain untuk
digunakan bersolat.
Patung-patung
atau gambar-gambar yang dimaksudkan adalah yang berupa atau menyerupai
makhluk bernyawa seperti haiwan, manusia dan berhala-berhala mereka.
Dalam
hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencela
perbuatan kaum Nashara ini. Ini sebagaimana hadis daripada ‘Aisyah
radhiyallhu ‘anha di mana Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata - Ummu
Habibah dan Ummu Salamah pernah menceritakan kepada Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam bahawa mereka melihat gereja di Habasyah yang di
dalamnya terdapat gambar-gambar. Maka beliau pun bersabda:
إِنَّ
أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمْ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى
قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ
شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Mereka
(ahli kitab), jika ada seorang yang soleh dari kalangan mereka
meninggal, mereka membina masjid (tempat ibadah) di atas kuburnya dan
mereka membuat (meletakkan) gambarnya pada kubur tersebut. Merekalah
makhluk yang paling buruk di sisi Allah pada hari kiamat.” (Hadis
Riwayat al-Bukhari, no. 427, 434)
Selain
itu apabila di tempat tersebut terdapat kubur, maka ia turut diharamkan
untuk bersolat di dalamnya atau di kawasan tersebut. Sebagaimana
disebutkan dalam hadis, orang-orang kafir dari kalangan ahli kitab
sering mengambil kuburan orang-orang soleh dari kalangan mereka sebagai
tempat membina rumah-rumah ibadah mereka.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الْأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلَّا الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ
“Muka
bumi ini seluruhnya adalah masjid (tempat beribadah) kecuali perkuburan
dan tempat mandi (tandas).” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 11788. Dinilai
sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)
Wallahu a’lam..
No comments:
Post a Comment